Sunday 9 October 2011

MEMERANGI KENAIKAN KOS SARA HIDUP. (BAHAGIAN 1)

Sekupang(dalam bahasa Kedah), 30-40 tahun dahulu, nilainya boleh dibeli sebungkus nasi lemak dan secawan kopi. Namun apalah ada pada nilai sekupang di zaman ini..

Keluh kesah peningkatan sara hidup dan kenaikan harga barang sudah menjadi lumrah. Lazimnya juga, kita lebih banyak merungut bercakap itu ini akan kesan fenomena global yang tidak boleh kita tentukan itu dari mengambil tindakan konkrit yang perlu.

Lebih malang ada pihak yang hanya tahu menyalahkan pihak pemerintah bahawa semua yang berlaku kerana salah pemimpin. Walhal angkubah lain seperti peningkatan kos pengeluaran, bencana alam yang menyebabkan pengeluaran makanan terjejas, kenaikan matawang, kos eksport, cukai, dan kesan permintaan dan penawaran langsung tidak mahu disentuh dan dikaji sebagai penyebab bagi kenaikan harga barangan dan kos sara hidup ketika ini.

Pengguna dan rakyat sebenarnya mempunyai pilihan. Banyak barangan yang kita beli sebagai contoh bukannya disebabkan keperluan yang benar-benar mendesak akan tetapi dibeli atas nama keinginan dan nafsu.

Sudah kedapatan beribu-ribu produk jenama buatan tempatan, yang jauh lebih murah harganya, kenapa harus juga dibeli barangan luar yang lebih mahal kosnya meskipun kualiti sama?.

Dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup dan harga barang, langkah praktikal sudah dilakukan dan mungkin banyak lagi yang perlu disegerakan. Kedai Rakyat 1Malaysia harus diperluaskan, bukan hanya di bandaraya tetapi perlu juga dibuka di kawasan bandar dan pinggir bandar. Demikian juga Klinik 1Malaysia yang operasinya di kawasan taman perumahan harus diperluaskan ke kawasan pendalaman bagi membolehkan kos rawatan paling murah tapi cekap dapat dinikmati oleh semua rakyat.Skim rumah pertama untuk golongan muda yang dilancarkan juga amat baik, namun skim perumahan kos rendah untuk semua golongan wajar disusun semula agar pembinaanya dapat dijalankan dengan skala besar di kawasan bandaraya, bandar, pinggir bandar dan pekan-pekan kecil yang padat penduduk. Skim sewa beli rumah kos rendah dengan kadar RM100-150 sebulan bagi tempoh bayaran 25-30 tahun amat signifikan kerana perumahan merupakan salah satu keperluan asas dalam membina keluarga bahagia.

Paling penting kesedaran masyarakat untuk menabung. Bagi masyarakat Jepun sebagai contoh, untuk setiap RM1 yang diperolehi, 30% atau 30 sen akan dimasukkan ke dalam tabung. Ramuan dan formula inilah menyebabkan Jepun dan rakyatnya mampu melabur di seluruh dunia dan memiliki syarikat gergasi antarabangsa.

Prinsip masyarakat kita 'kais pagi makan pagi,kais petang makan petang boleh dihindar'. Peranan koperasi terutama di kawasan pendalaman boleh diaktifkan.Ini bagi membolehkan perkhidmatan dan barangan pada harga yang murah boleh disediakan.

Dua perbelanjaan besar yang seringkali memeningkan kepala ketua keluarga ialah 'perbelanjaan pendidikan' dan 'perbelanjaan harian'. Lantas, yuran tahunan sekolah wajar dihapuskan, termasuk yuran PIBG. Biarlah PIBG dengan muafakat guru dan ibu bapa mencari alternatif lain untuk mengisi tabung mereka.Pihak Kementerian Pendidikan hanya perlu mengenakan yuran peperiksaan utama seperti SPM dan STPM sahaja, itupun dbolehkan melalui bayaran ansuran mulai awal tahun..BERSAMBUNG DI BAHAGIAN KE-2

No comments:

Post a Comment