Sunday 18 September 2011

Hakikatnya RAKYAT MALAYSIA.....

Sama ada disedari atau tidak keunikan Malaysia terletak pada lanskap sosio budaya dan kekuatan dasarnya. Lebih 40 etnik di Sabah dan Sarawak, 3 etnik utama di Semenanjung, 13 buah negeri, 9 orang raja Melayu dan 4 orang Yang Dipertuan Negeri.

Malaysia memilih demokrasi berparlimen, dengan kuasa memilih kerajaan terletak di tangan rakyat melalui undi setiap 4 atau 5 tahun sekali.

Naik atau jatuhnya sesebuah parti politik sebagai kerajaan sama ada diperingkat negeri atau persekutuan adalah perkara biasa. Pemimpin dan sistem yang terlaksana di Malaysia bukanlah bersifat autoritarian dengan mewariskan kepimpinan dari ayah ke anak.

Pemimpin yang ada juga tahu bila masa untuk turun, dan peralihan kuasa dalam pentadbiran kerajaan lazimnya berlaku dalam suasana aman dan teratur. Wujud institusi pelbagai sebagai pengimbang dan pengawas agar kuasa satu institusi tidak melebihi yang lain.

Pentadbiran awamnya bersifat perkecualian, dikatakan mereka must obey and administer the country and support the present goverment. Dengan lebih 1.2 juta kakitangan mereka telah berjaya memastikan urusan pentadbiran negara dilaksanakan dengan lancar melaui arahan dan panduan dari jemaaah Menteri.

Pasukan keselamatan seperti PDRM dan ATM pula sentiasa siapsiaga, dan telah terbukti berjaya menangani banyak krisis sama ada dhraurat 1948-1960., ancaman komunis, Tragedi 13 Mei 1969, tuntutan puak pelampau, dan para demonstrator yang hanya tahu berteriak untuk memenuhi hajat segelintir puak mereka tanpa mahu memikirkan suara majoriti yang terdiri dari 14 juta pengundi berdaftar dan 28 juta rakyat Malaysia.

Umumnya etnik utama seperti Melayu, Cina , India, Iban dan Kadazan mampu hidup aman semenjak Malaysia merdeka 1957. Berlainan bahasa, agama,,budaya bukanlah satu masalah untuk integrasi dan perpaduan antara kaum dipupuk. Sungguhpun kadangkala isu-isu sensitif seperti perkauman, agama dimainkan oleh puak 'fundamentalis kaum' yang cuba meniup api dalam sekam, namun pendekatan pencegahan yang diambil melalui ISA, Ordinan Dharurat ternyata berkesan.

Rangkuman keseluruhannya menjadikan MALAYSIA aman, stabil dan makmur sehingga menjadi negara dagang pada kedudukan tangga ke-16 di dunia. Ramai pelabur dalam dan luar mengintai peluang kerana kestabilan politik. Urustadbir dan transformasi sentiasa disuntik agar sistem pentadbiran dan dasar kerajaan pro rakyat dapat ditegakkan.


Dan dinamisme pentadbiran serta kestabilan inilah yang menjadi tonggak bagi survival Malaysia. Maka dengan pengumuman YAB Perdana Menteri untuk menghapuskan ISA, Ordinan dan Akta Dharurat, menambah baik Akta Percetakan dan Mesin Cetak, akta Polis dan memberi tumpuan kepada penggubalan Akta Baru yang ada kaitan dengan langkah membendung anasir subversif dan teroris kena pada masanya. Adalah diharapkan keamanan, dan kestabilan yang telah dicipta legasinya oleh negara dapat dipertahankan.

Pembaharuan ini adalah kesan kesedaran pimpinan untuk memahami denyut nadi rakyat. Satu pengiktirafan bahawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini sudah semakin matang, dan terbuka minda untuk memahami bahawa syarat bagi kelangsungan hidup bernegara adalah dengan memastikan negara ini terus aman.Bukannya bergaduh, berperang dan berkonfrantasi sepertimana yang berlaku antara puak Serb, Croat dan Bosnia suatu ketika dahulu. Tidak pula dengan amalan seperti diLibya yang menyaksikan sesama rakyat dan saudara seagama berperang hanya kerana taksub pada pemimpin tertentu.

Justeru menghapuskan ISA bukanlah kerana desakan melalui kaedah kotor dan berkepentingan dari pihak pelampau dan pembangkang, namun tindakan tersebut di buat kerana pimpinan negara mahu mengiktiraf sumbangan dan tingkahlaku rakyat yang semakin sedar dan faham bahawa peperangan, kacau bilau, keganasan, kaedah revolusi bukanya budaya rakyat di negara ini.

Hakikatnya RAKYAT MALAYSIA cintakan keamanan, dan sebagai mengiktiraf kemahuan rakyat, maka AKTA yang bersifat pencegahan dihapuskan, bagi segelintir yang masih ada elemen radikalisme dan revolusioner dalam diri dan yang hanya rakus mahu berkuasa meskipun rakyat sanggup diperalat dan dijadikan mangsa, usah khuatir, aspek perundangan lain, dan dua akta baru yang bakal digubal selain kecekapan PDRM dan ATM sudah cukup untuk membendung dan membatasi sebarang niat dan tindakan jahat mereka.
DEMI NEGARA..Marilah kita julang keamanan dan pastikan MALAYSIA terus AMAN..

No comments:

Post a Comment