Monday 1 August 2011

INDAHNYA JIKA RAMADHAN MILIK KITA SELAMANYA


Alhamdulilah, diketemukan sekali lagi ruang untuk menemui Ramadhan.Bulan mulia yang penuh barakah, hikmah, dan hidayah.

Tarawih malam pertama berjaya dilangsaikan dengan sempurna. Mudah-mudahan dapat terus beristiqamah untuk melaksanakannya sehingga hujung Ramadhan..

Perlu diakui tatkala Ramadhan, keinginan membuat baik bertambah, naluri dan hasrat untuk berbuat kerosakan dan kejahatan pula kian mengendur.

Alangkah indahnya jika suasana Ramadhan dapat diterjemah pada bulan-bulan yang lain. Masjid sentiasa penuh dengan jemaah, aktiviti kebajikan bersilih ganti. Tadarus Al-Quran seakan menjadi rutin..Nasib anak yatim dirai, golongan fakir ditolong tidak terhenti-henti. Aktiviti niaga umat Islam usah disangkal lagi. Bazar Ramadhan yang membuka peluang ekonomi bagi umat tumbuh bagaikan cendawan..Inilah semarak Ramadhan. Dan inilah antara
fenomena yang dapat kita saksikan sepanjang Ramadhan.

Teringat suatu ketika dahulu semasa kecil, SEMASA Ramadhan, kegiatan curi-curi minum air paip dan kolah menjadi jadi buat menahan tenaga sementara menantikan masuk waktu berbuka.

Moreh dimasjid sentiasa dinanti selepas terawih. Sahur agak liat untuk dibangunkan hingga terpaksa dijirus dengan ayaq oleh kaum keluarga. Pastinya setiap individu punyai pengalaman menarik sepanjang Ramadhan. Tentulah paling tidak dilupakan disaat akhir Ramadhan. Tatkala kehangatan untuk membeli baju dan kasut 'raya'. Maka apabila baju dan kasut baru sudah dibeli, maka malam raya, tidur kita pasti bertemankan baju dan kasut yang baru dibeli itu.

Inilah indahnya Ramadhan di Malaysia. Unik, aman, dan tenteram suasana untuk seluruh rakyat menjalani ibadat ketiga dalam Rukun Islam. Tanpa kacau ganggu, tanpa rasa cemas dihujani peluru, bom atau mortar.. Makanan dan juadahnya pula berlebih-lebih, sedangkan ada saudara seagama kita di negara luar sana yang hanya berbuka sekadar dengan bubur dan tamar. Namun meja hidangan berbuka dirumah dipenuhi ayam panggang, itik golek, ikan bakaq, kuih muih, nasi beriani, nasi hujan panas, lai chi kang, air tebu, tembikai, sup, dan entah apa lagi menu yang kadangkala hanya muncul tatkala Ramadhan.

Maka apabila berbuka,berlakulah pesta 'makan sehingga hilang nyawa' kerana mahu membalas dendam akibat menahan lapar dan dahaga sepanjang hari. Maka falsafah puasa untuk mendidik jiwa insan menjadi lebih bertaqwa tidak lagi membawa erti. Lebih KACAU BILAU apabila, fokus Ramadhan disisipkan dengan promosi HARI RAYA yang terlalu awal sama ada melalui corong radio, tv, media cetak mahupun gedung membeli belah. Semuanya buatkan ramai orang 'naik gila'.

Keinginan berbelanja ibarat dunia sudah mahu kiamat... Hari Raya semuanya perlu serba baru, dari perabot, barang perhiasan, kuih muih, kereta, dan dalam diam-diam ada yang 'berbini baru'.Maka selepas Raya, ramai yang jadi 'hantu raya', melilau kesana kemari, lari dikejar hutang keliling pinggang...Maka elakkanlah perangai lama dari berulang. Berpuasa dan berhari rayalah mengikut syariat dan ajaran Islam. Janganlah berpuasa dan berhari raya mengikut budaya dan nafsu nafsi kita.

Pastikan, korban dijalanraya pada musim puasa dan hari raya ini dapat kita kurangkan. Pastikanlah anak-anak kita tidak menjadi cacat dek kerana bunga api dan mercun atau meriam buatan sendiri...Pastikanlah episod drama-drama air mata hari raya tidak lagi mengisi slot tayangan tv di malam raya...Kita fahami erti puasa dan makna Aidilfitri yang hakiki, agar kita menjadi insan terbaik..Dan berterusanlah memohon doa agar Ramadhan 1432 H tahun ini tidak menjadi Ramadhan terakhir buat diri kita...Insya-Allah.




No comments:

Post a Comment